Rabu, 21 Oktober 2015

Menyesal Terlanjur dengan suami rakan baik


Saya seorang isteri dan mempunyai anak. Suami sentiasa sibuk dengan
urusan kerja hingga tiada masa dengan keluarga. Kekosongan itu memberi
ruang kepada saya untuk berhubungan dengan lelaki lain yang juga suami
rakan baik saya.

Hubungan itu menyebabkan kami  terlanjur
Kemudian, saya tersedar dosa yang saya lakukan dan ingin bertaubat.
Adakah saya perlu memohon ampun dan maaf daripada suami saya dan juga
rakan baik saya?

MIRA, Cheras, Kuala Lumpur

Suami yang sibuk bukan alasan untuk isteri melakukan sesuatu maksiat.
Tidak sepatutnya suami yang bertanggungjawab sibuk kerja mencari nafkah
untuk keluarga dibalas dengan pengkhianatan isteri terhadap suami.

Pintu taubat sentiasa terbuka untuk mereka yang ingin bertaubat.
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada
malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang
hari, dan Allah membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima
taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari
terbit dari barat.” (Hadis riwayat Muslim).

Puan sepatutnya mendekatkan diri dengan Allah dan melaksanakan
tanggungjawab menguruskan rumah tangga dengan baik dan amanah. Peluang
berjauhan dengan suami boleh digunakan untuk belajar agama dengan lebih
mendalam.

Buatlah taubat nasuha, iaitu taubat yang benar-benar dengan syaratnya
dipenuhi. Dari segi memberitahu suami dan memohon maaf, ini bergantung
kepada keadaan dan kekuatan puan. Banyak perkara perlu dipertimbangkan
dalam permasalahan ini.

Tidak boleh berhukum atau diselesaikan dengan cara dalam media massa
seperti ini. Dapatkan bantuan dan khidmat nasihat di pejabat agama
supaya tindakan lebih bertanggungjawab dan tidak menzalimi pihak lain.
Wallahualam.



Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan